Warisan Harta Sabah Dijenama Semula Sebagai Qhazanah Sabah

Pengerusi Qhazanah Sabah, Salleh Said Keruak (dua dari kiri) menyampaikan logo baharu GLC itu kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor (dua dari kanan).

KOTA KINABALU: Sebagai tanda sokongan kepada pelan pembangunan negeri selama lima tahun yang dikenali sebagai Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), cabang pelaburan strategik kerajaan negeri, Warisan Harta Sabah Sdn Bhd kini dijenamakan semula sebagai Qhazanah Sabah.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, penjenamaan semula itu menunjukkan komitmen kukuh Qhazanah Sabah untuk mencapai objektifnya mengubah Sabah menjadi negeri progresif dan membangun di Malaysia.

“Menjadi harapan kerajaan negeri agar Qhazanah Sabah terus unggul dan menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula syarikat itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu yang ditubuhkan pada 6 Apr 1995 adalah hasil cetusan idea ketua menteri ketika itu, Salleh Said Keruak.

Katanya, objektif utamanya ialah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah dan syarikat berkenaan mempunyai rekod prestasi baik dalam membayar dividen lebih RM200 juta kepada kerajaan negeri sejak ditubuhkan.

“Selain aktif memperuntukkan dana bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, Qhazanah Sabah juga menjana pendapatan daripada anak syarikatnya dengan usaha sama perniagaan bermula daripada tadbir urus dan perkhidmatan pelabuhan, kewangan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan, pengurusan tenaga diperbaharui, pembangunan hartanah serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

“Perniagaan terbaharunya ialah penjenamaan semula salah sebuah anak syarikat milik penuhnya, Kojasa Holdings Berhad yang akan melancarkan kedai runcit platform digitalnya yang dikenali sebagai KOJASA Mart dengan kerjasama Epost Express (Sabah),” katanya.

Beliau berkata, Qhazanah Sabah juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Go Auto Holdings Sdn Bhd dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor pengangkutan serta pembuatan automotif.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kemampuan Qhazanah Sabah untuk mencipta dan menyesuaikan syarikat dalam masa mencabar bagi mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan sejajar matlamatnya untuk mempelbagaikan hasil negeri. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *