SPRM Tahan Anggota Polis Terima Rasuah Daripada Warga Pakistan

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai menerima wang rasuah, hari ini.

Anggota polis yang bertugas di salah sebuah daerah di negeri itu ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,500.

Menurut sumber, wang berkenaan diminta daripada seorang lelaki warga Pakistan sebagai balasan untuk memulangkan semula barangan ditahan.

Katanya, barangan yang dimaksudkan adalah sebuah motosikal, buku hutang dan passport milik warga Pakistan terbabit.

“Suspek yang berusia dalam lingkungan 20an itu ditahan di sebuah daerah kira-kira jam 11.30 pagi.

“Turut dirampas, wang tunai sebanyak RM3,500 yang dipercayai diterima secara rasuah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Suspek akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *