Salleh Minta Putrajaya Hormat Keputusan, Beri Kerjasama Kepada Sabah Longgar SOP

Salleh Said Keruak percaya kerajaan Sabah sudah mengambil kira dan mempertimbangkan semua faktor ketika memutuskan untuk melonggarkan SOP beberapa aktiviti sosial dan ekonomi.

PUTRAJAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak meminta Putrajaya menghormati keputusan dan memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melonggarkan SOP berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan Sabah melonggarkan SOP memandangkan negara kini dalam Fasa I Pelan Pemulihan Negara (PPN), bukannya perintah kawalan pergerakan (PKP).

Oleh itu, beliau meminta semua pihak menumpukan pemulihan ekonomi negeri dengan penyesuaian SOP mengikut situasi terkini.

“Saya percaya kerajaan negeri sudah mengambil kira dan mempertimbangkan semua faktor dalam perkara ini,” kata pemimpin Umno itu dalam catatan ringkas di Facebook.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja, namun sekiranya ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia dibenarkan.

Kenyataan itu menyusul pengumuman Ketua Menteri, Hajiji Noor yang membenarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi beroperasi susulan pelaksanaan Fasa I PPN di Sabah bermula semalam.

Ia termasuk membenarkan orang ramai makan di restoran, melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal, manakala kedai gunting rambut dan aktiviti pembuatan serta perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, kilang berasaskan kayu dan perabot dibenarkan beroperasi.

Susulan kenyataan Ismail, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun dilaporkan berkata, negeri itu masih menunggu kelulusan kerajaan pusat berhubung kebenaran aktiviti sosial dan ekonomi seperti diumumkan Hajiji. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *