Sabah Terima 628,390 Dos Vaksin Setakat Isnin

KOTA KINABALU, 30 Jun : Sabah telah menerima 628,390 dos atau 254,565 botol vaksin COVID-19  untuk kegunaan rakyat setakat Isnin lepas, kata  Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 555,761 dos vaksin jenis Pfizer-BioNtech, Sinovac dan Astrazeneca sudah digunakan.

“Setakat ini juga terdapat sebanyak 152 pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah yang antaranya membabitkan fasiliti kesihatan selain hospital dan klinik swasta serta dewan dan premis swasta yang menjadikan PPV sebagai projek CSR (tanggungjawab sosial koprat).

“Bagi program (vaksinasi) ‘outreach’, sebanyak 16 daerah terbabit dengan 20 pasukan klinik bergerak melibatkan 195 lokaliti,” katanya ketika menyampaikan taklimat perkembangan pemberian vaksin COVID-19 di Sabah kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di sini hari ini.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai sekali bayar RM300 bagi Bantuan  Sabah Prihatin (BSP) 3.0 kepada penjaja kecil dan bantuan pembayaran pengurusan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melibatkan peruntukan RM2.69 juta.

Sementara itu, Hajiji bersyukur kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah temasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman berjalan lancar. 

 “Mengikut taklimat Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Dr Christina), PICK berjalan lancar termasuk program vaksinasi bergerak kerajaan yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF),” katanya. -BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *