Bayi Masih Bertali Pusat Ditemui Di Bawah Rumah

Bayi lelaki berkenaan menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi.

LAHAD DATU : Bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru di sini semalam.

Bayi lelaki yang bertali pusat itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tanah berlumpur oleh pemilik rumah selepas terdengar bunyi tangisan selain anjing menyalak pada pukul 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa dia bersama ahli keluarganya segera membawa bayi malang itu ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan tiga atau empat jam sebelum ditemui.

“Bayi seberat satu kilogram itu dipercayai dilahirkan pramatang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohan memberitahu, bayi tersebut dilaporkan tidak stabil dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu diminta menyalurkan kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *