Longgar Aktiviti Sosial, Ekonomi, Sabah Tunggu Pewartaan Pusat

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata setiausaha kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan akhbar berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci.

KOTA KINABALU: Sabah masih menunggu kelulusan kerajaan pusat berhubung kebenaran aktiviti sosial dan ekonomi seperti diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata Sabah telah mengemukakan SOP baharu bagi Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 kepada kerajaan pusat dan kini mereka masih menunggu ia diwartakan.

“Perakuan SOP ini telah diputus sebulat suara oleh jawatankuasa pengurusan bencana Covid-19 Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

“Antara anggota jawatankuasa ini ialah ketua-ketua jabatan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), polis dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah (MKNS) yang juga telah menyemak perakuan ini.

“Setiausaha kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan akhbar yang berasingan mengenai SOP Sabah secara terperinci,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19, hari ini.

Semalam, Hajiji mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 Sabah, mulai hari ini.

Antaranya termasuk makan di restoran atau kedai makan, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal selain aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, kilang berasaskan kayu dan perabot.

Hajiji berkata, perincian SOP bagi negeri itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun sehingga kini, SOP berkenaan masih belum dikeluarkan dan terus menjadi tanda tanya sama ada apa diumumkan Hajiji boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Sabah tidak patut melonggarkan SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu standard SOP sahaja namun sekiranya ada negeri yang ingin menambah baik dengan memperketatkan suatu perkara, ia dibenarkan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *