Lelaki Hilang Ditemukan Mati Dipercayai Dibaham Buaya

Perahu mangsa yang ditemui terbalik di Sungai Matamba, Silabukan, Lahad Datu. – Foto Bomba

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang Sabtu lalu ditemukan mati lemas dipercayai dibaham buaya di Sungai Matamba, Silabukan di sini, semalam.

Mayat mangsa berusia 34 tahun ditemukan penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu.

Difahamkan, ketika ditemukan ada sebahagian anggota badan mangsa hilang disyaki dibaham buaya.

Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai bot karam jam 11.50 malam Sabtu lalu dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan keesokan pagi.

Katanya, anggota bomba dan dibantu orang awam mula menjalankan gerakan mencari dan menyelamat sepanjang Sungai Matamba iaitu lokasi perahu mangsa ditemui terbalik.

“Kawasan pencarian meliputi jarak sepanjang hampir 25 kilometer namun mangsa masih gagal ditemui.

“Gerakan mencari turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) namun sekali lagi pencarian tidak menemui sebarang tanda positif mangsa akan ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada jam 2.10 petang operasi ditangguh disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan bomba manakala penduduk kampung meneruskan pencarian.

“Pada jam 6.04 petang semalam, anggota PBS Silabukan menghubungi balai bomba dan memaklumkan mangsa sudah ditemukan penduduk kampung berdekatan dengan perahu mangsa yang ditemui terbalik.

“Susulan penemuan itu, anggota bomba ke lokasi dan mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan jam 7 malam,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *