Sebarang Perubahan SOP Di Sabah Diumumkan Esok Atau Lusa – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, sebarang perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) di Sabah hanya akan diumumkan esok atau lusa.

Katanya, setakat ini, semua SOP masih kekal termasuk waktu perniagaan kedai makan dan restoran yang bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

“Tunggu pengumuman (perubahan SOP) esok atau lusa,” katanya.

Terdahulu, hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi kedai makan dan restoran dibenarkan bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam, bermula esok.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 190 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 68,767.

Katanya, tiada kes kematian akibat wabak itu direkodkan, hari ini, manakala 151 lagi pesakit telah sembuh dan discaj daripada hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

”Setakat ini, seramai 1,407 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 431 orang di hospital, 965 orang di PKRC awam manakala sembilan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara.

”Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 67 orang dan 16 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan atau ‘ventilated’,” katanya.

Beliau berkata, 75 kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah hasil saringan kontak rapat, 57 kes daripada saringan kluster, 27 saringan bergejala, 21 kes daripada saringan bersasar dan 10 kes lagi adalah daripada lain-lain kategori.

Katanya, tiga kluster baharu turut direkodkan iaitu Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau, Kluster Linau Kumpang di Kota Belud dan Kluster Tembok Kota Kinabalu membabitkan daerah Kota Kinabalu, Papar serta Penampang. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *