Premis Makanan Boleh Dibuka 6 Pagi Hingga 10 Malam

PUTRAJAYA: Operasi kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

“Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021,” katanya

Ismail berkata demikian ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP penuh mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di dua lagi lokaliti di Kota Belud, Sabah membabitkan Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau
bemula 29 Jun hingga 12 Julai.

“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti tersebut di mana sembilan kes positif telah direkodkan hasil 48 ujian saringan yang dijalankan di Kampung Nahaba Tegudon, dan 11 kes positif direkodkan dari 15 ujian saringan yang dilaksanakan di Kampung Linau,” katanya.

Sementara itu PKPD di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah dilanjutkan sehingga 12 Julai.

Pelaksanaan PKPD di lima sub-zon di Labuan, Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau, Kampung Tanjung Kapor, Kudat, di Sabah; Kampung Tabuan Haji Drahman, Kuching; serta 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, Tanjung Manis, Mukah, di Sarawak akan tamat bermula 11.59 malam esok.

Ismail turut memaklumkan pihak polis semalam menahan 798 lagi individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 762 individu dikompaun manakala 24 direman dan 12 dijamin.

Sementara menerusi Operasi Benteng, pihak berkuasa menangkap 28 lagi pendatang asing tanpa izin semalam serta merampas enam kenderaan darat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *