Polis Pantau Laluan Tikus Guna Dron Kawasan PKPD Di Kota Belud

KOTA BELUD: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud mengambil langkah melaksanakan pemantauan udara menggunakan dron di lokasi yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Ia bagi menumpukan dan mengenalpasti laluan tikus di kawasan berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, setakat ini, pemantauan dilakukan di beberapa lokasi terpilih.

Katanya, ia termasuk kawasan Kampung Ejuk yang bertujuan mengenalpasti laluan yang boleh dilalui sepanjang perlaksanaan PKPD.

“Hasil daripada pemantauan laluan yang dikenalpasti, polis akan mengambil tindakan penutupan jalan berkenaan bagi memastikan tiada pembolosan berlaku.

“Pemantauan udara ini juga akan dilakukan di sekitar lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah ( PKRC) Kampung Pirasan,” katanha ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, ia berikutan terdapat aduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung ketidakpatuhan pesakit yang menjalani kuarantin di kawasan terbabit.

Katanya, mengikut aduan diterima, terdapat pergerakan pesakit yang melakukan aktiviti mendaki atau Hiking di bukit berhampiran lokasi mereka dikuarantin.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan udara yang dibuat mendapati tiada sebarang pergerakan di lokasi yang dinyatakan.

“Selain itu, polis turut membuat hebahan kesedaran PKPD menggunakan pembesar suara yang terpasang pada dron,” katanya.

Sahimi berkata, setakat ini pemantauan mendapati kadar pergerakan dan pematuhan penduduk di kawasan berkenaan adalah sangat baik. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost