Majlis Doa Selamat Cetus Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU: Majlis sosial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, mencetuskan kluster baharu COVID-19, di Sabah pada Ahad.

Kluster Kampung Tengah Nelayan di Sandakan itu dikaitkan dengan majlis doa selamat yang diadakan di kampung berkenaan, pada 13 Jun lalu yang sehingga kini sudah merekodkan 25 kes positif COVID-19.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu tercetus selepas seorang wanita berumur 45 tahun disahkan positif saringan RTK Antigen pada 16 Jun lalu.

Katanya, kes indeks itu dilaporkan mengalami gejala demam dan insomnia sejak 11 Jun lalu.

“Saringan terhadap 45 kontak rapat kemudiannya menemukan 24 lagi kes positif, manakala 21 kontak masih lagi menunggu keputusan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, saringan dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, katanya seorang pekerja kilang pemprosesan makanan yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bersasar di lokaliti PKP Diperketat (PKPD) Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu mencetuskan kluster baharu membabitkan pekerja kilang tempatnya bekerja di Penampang.

Masidi berkata, kes indeks Kluster Jalan Bundusan yang berumur 43 tahun itu tidak menunjukkan gejala, namun keputusan ujian RT PCR yang dikeluarkan semalam mengesahkan lelaki berkenaan positif COVID-19.

“Berikutan kes itu, majikan melaksanakan saringan RTK Antigen di tempat kerja dan mendapati lapan lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak sembilan kes,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, Sabah hari ini mencatat 163 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian, iaitu masing-masing satu di Sandakan dan Semporna, manakala seramai 241 pesakit dilaporkan sembuh.

Daripada 163 kes baharu itu, katanya, sebanyak 95 kes dikesan melalui saringan kontak rapat, diikuti saringan kluster (35), saringan bergejala (13), saringan bersasar (13) dan lima kes lagi menerusi saringan lain. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *