Kakak & Adik Ditahan Edar Syabu Di Tuaran

Ketua Polis Daerah Tuaran, Mohd Hamizi Halim berkata, lelaki berusia 22 tahun dan kakaknya yang berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 1.50 petang. – Foto Polis

TUARAN: Seorang kakak dan adik lelakinya yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu ditahan polis, Rabu lalu.

Kedua beradik itu berjaya ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Baru-Baru, Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, ketika diserbu, dua suspek membabitkan wanita berusia 34 dan lelaki berusia 22 tahun terbabit didapati sedang membungkus syabu dalam kuantiti kecil untuk dijual di pasaran.

Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas sejumlah 323.63 gram syabu bernilai RM33,360 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka bebas daripada pengaruh dadah.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati semua dadah yang dirampas itu hanya untuk pasaran sekitar kampung berkenaan dan daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, berdasarkan kepada perkiraan kajian, semua dadah itu boleh digunakan seramai 1,620 penagih dadah.

Katanya, pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembekal dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *