PPM Rampas 4.3 Kilogram Syabu Di Tawau

Bot yang digunakan. – Foto PPM

TAWAU: Tiga pengedar syabu nekad terjun ke laut untuk meloloskan diri selepas menyedari pergerakan mereka dipantau pihak berkuasa dalam kejadian di Kampung Hidayat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.42 malam itu, pasukan PPM yang mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan itu cuba menghampiri mereka.

Foto PPM

Bagaimanapun, sebaik cuba dihampiri, ketiga-tiga lelaki terbabit terus terjun ke laut sebelum menghilangkan diri dari lokasi kejadian.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat sebuah beg ditinggalkan di dalam bot berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati beg berkenaan mengandungi plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 4.3 kilogram.

“Bot berkenaan kemudiannya ditunda ke Markas Operasi Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua bot bersama enjin 200hp dan 15hp serta dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM426,725 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Nazari berkata, kes akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, Mohd Nazari berkata, PPM amat mengalu-alukan masyarakat supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan mereka.

PPM Tawau menujukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam kejadian tersebut.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 untuk tindakan segera. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *