PPM Tahan Kapal Nelayan Simpan Diesel Tanpa Permit

Gambar Ihsan PPM Sabah

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya menahan sebuah kapal nelayan pukat tunda yang menyimpan minyak diesel tanpa permit kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, kapal nelayan berkenaan ditahan di kira-kira jam 5 petang, semalam.

Gambar Ihsan PPM Sabah

Katanya, tindakan itu dilakukan dalam satu operasi terancang yang dijalankan di perairan SAFMA Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan tangki diubahsuai di bahagian dalam ruangan enjin kapal berisi lebih kurang 5,000 liter minyak Diesel.

“Manakala sebuah lagi tangki turut diubahsuai di bahagian haluan kapal yang berisi kira-kira 1,700 liter minyak Diesel,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Roslan berkata, keseluruhan minyak Diesel yang dirampas dianggarkan sebanyak 6,700 liter.

Katanya, pihak PPM turut menemui satu unit mesin pam mudah alih dan hos yang disembunyikan di atas kapal nelayan berkenaan.

“Juragan kapal, lelaki tempatan berusia 63 tahun gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa dan memasarkan minyak Diesel daripada KPDNHEP.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM266,905 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Roslan berkata, kapal nelayan berkenaan kemudiannya disita dan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *