ESSCOM Tahan Tekong Darat Warga Tempatan Bersama 3 PATI

Foto ESSOM

TAWAU: Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggagalkan cubaan tekong menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas awal pagi tadi.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan itu dilakukan semasa rondaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan pada 5.20 pagi tadi.

Foto ESSOM

Beliau berkata, semasa rondaan dilakukan oleh enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, lima anggota 6RAMD (ATM) menahan sebuah kenderaan MYVI dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, terdapat  seorang pemandu bersama dua lelaki dan seorang wanita berada dalam kenderaan tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati semua mereka mengaku  berasal daripada Sungai Pancang, Indonesia menggunakan laluan yang tidak sah untuk menyeludup masuk ke daerah ini menggunakan bot mengikut jalan laut.

“Turut ditahan seorang tekong darat warga tempatan yang disyaki turut terlibat dalam aktiviti berkenaan” katanya.

Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 57 tahun dan kesemya mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Turut disita sebuah kenderaan MYVI yang digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

Katanya, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE akan terus mengadakan rondaan dan  pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence”.

Foto ESSOM

Usaha ini dilakukan bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam  usaha kita untuk memutuskan rangkaian Covid-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *