Sabah Umum Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Berjumlah RM154 Juta

Hajiji berkata, bantuan one-off RM300 melibatkan jumlah RM120,469,481 dan bantuan bakul makanan bernilai RM34,366,500 juta

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 berjumlah RM154,835,981 juta membabitkan bantuan tunai one-off RM300 dan bakul makanan bagi membantu rakyat terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bermula 1 Jun lalu.

Bantuan one-off RM300 melibatkan jumlah RM120,469,481 dan bantuan bakul makanan bernilai RM34,366,500 juta.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, berkata bantuan one-off RM300 itu membabitkan seramai 370,432 penerima manakala bantuan bakul makanan adalah sebanyak 343,665.

Katanya, Bantuan Sabah Prihatin 3.0 itu adalah bantuan tambahan kepada RM238,369,318 juta yang sudah diagihkan menerusi Bantuan Sabah Prihatin 1.0 dan 2.0, sejak hujung tahun lalu.

“Mesyuarat Kabinet Negeri. pada 9 Jun 2021 telah memutuskan pemberian Bantuan Khas 3.0 COVID-19. Bantuan Kerajaan Negeri ini adalah tambahan kepada pelbagai jenis bantuan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat baru- baru ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM2.1 bilion serta Geran Khas Prihatin sebanyak RM1.5 bilion kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan penambahan bantuan 3.0 ini, secara keseluruhannya sejumlah RM358,838,800 juta termasuk bantuan awal (bantuan 1.0 dan 2.0) telah dan akan diagihkan kepada rakyat yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik ini. Saya berharap bantuan ini (Bantuan Sabah Prihatin 3.0) akan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar Taklimat Pengurusan Keselamatan Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Khamis.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diagihkan dalam masa terdekat yang merangkumi pembayaran secara tunai oneoff RM300, pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan bantuan kepada pelajar institusi pengajian swasta dan awam.

Katanya, Bantuan Sabah Prihatin itu akan diagihkan menerusi lapan kementerian, selain Pejabat Tugas-Tugas Khas dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada golongan sasaran masing-masing. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost