Sabah Potong Gaji Menteri & Pembantu Menteri 50%

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan pemotongan gaji 50 peratus bagi semua menteri dan pembantu menteri selama dua bulan berkuat kuasa bulan ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, dekat sini, sebentar tadi.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata perkara itu diputuskan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, semalam.

Beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga melepaskan 30 peratus daripada gaji masing-masing selama sebulan.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik COVID-19.

“Kami dalam kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan Kabinet negeri turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 berjumlah RM120.5 juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik berkenaan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost