9,411 Calon SPM 2020 Raih Semua A

KUALA LUMPUR: Seramai 9,411 daripada 401,105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 memperoleh A dalam semua mata pelajaran, meningkat sedikit berbanding 8,876 calon pada 2019.

Kementerian Pendidikan dalam Laporan Analisis Keputusan SPM 2020 berkata, bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan, iaitu 77,731 calon berbanding 77,038 pada 2019.

“Seramai 144,447 calon mendapat sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran, penurunan sedikit berbanding 147,738 calon berbanding tahun sebelumnya,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, 43 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 39 mata pelajaran mencatatkan penurunan dan satu mata pelajaran kekal daripada keseluruhan 83 mata pelajaran yang ditawarkan dalam SPM 2020.

“Antara subjek teras yang mencatatkan peningkatan adalah Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains manakala subjek yang merekodkan penurunan adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.”

Menurutnya, jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga mengecil kepada 0.38% pada 2020 berbanding 0.44% pada 2019.

Bagaimanapun pencapaian calon di luar bandar menunjukkan peningkatan lebih tinggi berbanding calon di bandar.

Terdahulu Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, calon SPM 2020 yang tidak mempunyai akses internet untuk mengetahui keputusan peperiksaan akan dihubungi oleh pihak sekolah secepat mungkin.

Katanya, pengurusan sekolah juga akan berbincang dengan calon mengenai kaedah terbaik untuk mereka mendapatkan sijil SPM manakala sijil fizikal bagi calon lain akan diedarkan secara berperingkat mulai 10 Julai ini, bergantung kepada situasi semasa.

Mengenai calon ulangan SPM 2020 beliau berkata, ia akan dilaksanakan pada minggu ketiga September ini membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

“Proses peperiksaan itu akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam masa terdekat,” katanya.

Keputusan SPM 2020 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 mata berbanding 4.86 mata pada 2019.

Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost