KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal difahamkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.
Sumber yang dihubungi memaklumkan, pertemuan bersama Agong itu akan diadakan esok dan ini sekaligus menafikan dakwaan portal The Vibes bahawa Presiden Warisan itu akan tiba di Istana Negara petang ini.
Selain Mohd Shafie, bekas Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka tiba di Istana Negara esok.
Bermula hari ini sehingga 11 Jun, pemimpin-pemimpin politik dipanggil menghadap Agong untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Perjumpaan pemimpin-pemimpin politik dengan Agong ini bermula pagi tadi dan dimulakan dengan pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kemudian, diikuti dengan pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost