Operasi Perniagaan Di Sabah Berubah Lagi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata operasi perniagaan di Sabah termasuk restoran dan pasar raya sekali lagi berubah, kali ini bermula jam 7 pagi hingga 7 petang.

KOTA KINABALU: Operasi perniagaan di Sabah termasuk restoran dan pasar raya sekali lagi berubah, dengan kali ini bermula jam 7 pagi hingga 7 petang berkuat kuasa serta-merta.

Perubahan itu yang ketiga diumumkan selepas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun pada mulanya semalam mengumum operasi perniagaan diselaraskan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan dipinda dengan operasi perniagaan dibenarkan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 6 petang manakala operasi perniagaan di pasar awam serta pasar harian kekal iaitu bermula jam 6 pagi hingga 3 petang.

Dalam kenyataan terbarunya, hari ini, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, pindaan terhadap waktu operasi sektor perniagaan dan perkhidmatan itu dibuat selepas mengambil perhatian terhadap maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Selain perniagaan lain, waktu operasi pasar awam dan pasar harian dikekalkan bermula jam 6 pagi hingga 3 petang manakala waktu operasi premis perniagaan yang dibenarkan di dalam kompleks membeli-belah adalah mengikut kompleks berkenaan iaitu bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

“Bagi stesen minyak, waktu operasi yang dibenarkan ialah bermula jam 6 pagi hingga 8 malam manakala institusi kewangan perbankan dibenarkan beroperasi bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

“Sementara itu, waktu operasi pejabat firma profesional seperti akauntan, peguam, auditor, jurutera, arkitek, juruukur berlesen, juruukur bahan, jurunilai, perancang bandar, saintifik (termasuk R&D) dan teknikal (termasuk penyenggaraan) serta semua khidmat profesional dibenarkan beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 31 kes iaitu daripada 305 kes, semalam, kepada 336 kes, hari ini.

Katanya, daripada jumlah kes baharu hari ini, 140 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 117 kes daripada saringan kluster, 31 kes adalah daripada saringan bergejala, 32 kes daripada saringan bersasar dan 16 kes daripada lain-lain kategori.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *