Dua Lagi Kluster Berpunca Dari Ziarah Aidilfitri Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan empat lagi kluster baharu COVID-19 dengan dua daripadanya berpunca daripadanya aktiviti kunjung-mengunjungi ketika Aidilfitri, baru-baru ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster itu membabitkan Kluster Kampung Bolong Baru-Tuaran di daerah Kota Belud dan Kluster Taman Wawasan-Beaufort, Papar di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Kampung Bolong Baru membabitkan seorang suri rumah berusia 28 tahun yang mengalami gejala demam, sakit tekak, selsema, batuk dan hilang deria bau sejak 22 Mei, sebelum disahkan positif COVID-19 pada 27 Mei lalu.

Katanya, susulan kes itu saringan kontak dijalankan bermula 27 Mei ke atas 259 kontak rapat dan tempat kerja iaitu QL Marine di Tuaran dan daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes positif dikesan di Tuaran, manakala tujuh lagi di Kota Belud menjadikan jumlah terkini sebanyak 33 kes.

“Kluster Taman Wawasan pula direkodkan di Hospital Papar, dengan kes indeks seorang lelaki berusia 66 tahun disahkan positif virus terbabit pada 18 Mei selepas bergejala sejak 7 Mei lalu, namun tidak mendapatkan rawatan.

“Saringan kontak pada 22 Mei mendapati dua kes positif masing-masing di klinik kesihatan dan klinik swasta di Kota Kinabalu. Kedua-dua kontak rapat itu terbabit dengan aktiviti kunjung-mengunjung ketika hari raya di Kampung Tarap Bongawan.

“Turut dikesan positif, empat sekeluarga di Taman Wawasan Beaufort yang membawa kepada penemuan 16 lagi kes positif di taman itu. Tujuh kes baharu dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Kluster Hamparan di Kinabatangan membabitkan 27 kes di tempat kerja iaitu daripada kluster indeks seorang wanita berusia 26 tahun yang didapati positif pada 29 Mei, sebelum saringan tempat kerja di kilang sawit mengesan 17 kes dan sembilan kes jangkitan kepada tanggungan.

“Kluster Jalan Budi di Tawau pula membabitkan seorang wanita berusia 37 tahun yang juga pekerja salon kecantikan di Johor disahkan positif ketika saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Rabu lalu, sebelum saringan kontak rapat mengesan sembilan kes positif dalam kalangan rakan serumah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost