DBKK Kompaun 4 Individu 1 Premis Ingkar Arahan PKP 3.0

Antara ndividu dikompaun selepas didapati keluar rumah tanpa tujuan dibenarkan. – Foto DBKK

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan lima kompaun terhadap empat individu dan satu premis dalam pelaksanaan Ops Putus Khas ‘Stayhome’ di sini.

Pengarah Penguatkuasa DBKK Abdul Mukti  Muchlish berkata kesemua pihak terbabit didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan diberi kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988 (Akta 342).

Foto DBKK

“Pemeriksaan dibuat terhadap 80 individu dan 25 premis di sekitar kawasan Pasar Besar KK, Pasar Ikan, Kampung Air, beberapa pasaraya termasuk KK Plaza, Centre Point dan Asia City di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat individu keluar dari rumah tanpa tujuan yang dibenarkan manakala satu premis didapati menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan untuk beroperasi semasa tempoh PKP,” katanya.

Menurutnya sejak diturunkankuasa untuk mengkompaun mengikut Akta 342 pada 27 Mei lalu, penguatkuasa DBKK mengeluarkan sebanyak 14 kompaun terhadap individu dan satu premis.

“Operasi Pemantauan Pematuhan SOP yang dinamakan ‘Op Putus’ ini dilaksanakan secara berterusan setiap hari di sekitar pusat bandar dan luar bandar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Orang awam dan premis-premis perniagaan dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa agar kita dapat memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *