Tarikh Peperiksaan SPM 2021 Ditunda Tahun Depan – Radzi

Radzi Jidin

PUTRAJAYA: Tarikh peperiksaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2021 akan diadakan pada Februari 2022 bagi Ujian lisan dan amali sains, manakala, bagi peperiksaan bertulis akan diadakan pada Mac 2022.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat ketetapan itu mengambil kira keadaan semasa dan cabaran yang perlu dilalui calon SPM 2021.

“Pengalaman kita dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan kita menganjakkan tempoh atau pun tarikh pelaksanaan SPM 2021 ke tahun 2022.

“Kita yakin segala proses berkaitan dengan SPM 2021 akan dapat berjalan dengan lancar seperti mana kita berjaya laksanakan SPM 2020,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Terdahulu, Radzi berkata KPM mengumumkan keputusan peperiksaan SPM tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai jam 10 pagi.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah semakan di portal Lembaga Peperiksaan atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Calon SPM boleh melayari portal Lembaga Peperiksaan untuk mendapatkan keputusan penuh atau menerusi perkhidmatan SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Dalam pada itu, Radzi juga mengesahkan sehingga kini kira-kira 70,000 guru sekolah di bawah KPM di seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Justeru, katanya, beliau sudah berhubung dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin supaya jumlah guru yang menerima vaksin dapat dipertingkatkan lagi.

“Memandangkan sekolah tidak dibuka sehingga akhir Julai, saya telah berbincang menteri penyelaras dengan kita usahakan dalam tempoh ini, kita akan pertingkatkan imunisasi vaksin untuk guru Kementerian Pendidikan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *