Kelas Online Untuk Tempoh 25 Hari Bermula 13 Jun

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan semua pelajar akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama 25 hari selepas cuti pertengahan tahun berakhir.

Katanya, sesi PdPR itu akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

Radzi Jidin

Kumpulan A terdiri daripada sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B adalah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat ketetapan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan ini kita akan melaksanakan PdPR.

“Ketetapan ini juga diguna pakai untuk semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Beliau berkata, cuti pertengahan penggal seterusnya akan bermula selepas 16 dan 17 Julai.

Sehubungan itu, katanya, keputusan mengenai kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) selepas cuti pertengahan penggal selama seminggu yang berakhir pada 25 dan 26 Julai nanti akan diumumkan seminggu lebih awal sebelum tamat cuti.

Mengenai TV Pendidikan, beliau berkata DidikTV akan diteruskan dengan 15 jam waktu siaran setiap hari.

“KPM juga akan terus menggunakan kaedah TV Pendidikan menerusi saluran Didik TV selama 15 jam sehari, TV Okey (2 jam) dan Astro Tutor TV (4 jam) dikendalikan oleh guru berpengalaman bagi membantu meningkatkan PdPR terutama kepada murid yang tidak mempunyai akses internet di luar bandar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata KPM menerusi Yayasan Hasanah juga sudah mengagihkan 12,887 daripada 150,000 unit peranti pintar di bawah projek perintis pembelajaran digital CERDIK, sehingga semalam kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di 95 sekolah dalam 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.

Katanya, pengagihan 40,290 unit lagi peranti dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun ini manakala baki 96,823 unit peranti pula dijangka selesai pada akhir September 2021.

Beliau turut memaklumkan semakan bagi sekolah khusus atau sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, kolej vokasional, sekolah menengah teknik, sekolah menengah khas pendidikan khas vokasional dibuat mulai 8 Jun 2021 dan pendaftaran kemasukan akan dilakukan secara atas talian.

“Tarikh pendaftaran pelajar murid sekolah berkenaan ditetapkan pada 13 Jun dan 14 Jun mengikut sekolah kumpulan A dan B serta boleh belajar secara PdPR bersama pelajar sedia ada di sekolah khusus berkenaan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *