Hospital Gleneagles Jadi PPV Swasta Pertama Di Sabah

Hospital Gleneagles Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Hospital Gleneagles Kota Kinabalu menjadi hospital swasta pertama di Sabah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif hospital berkenaan, Dr Tan Bee Hwai, berkata pihaknya sudah bersedia untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada kira-kira 500 individu seminggu, bermula Isnin ini.

“Kami gembira kerana dapat membantu KKM bagi melaksanakan program pemberian vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

“Kami komited untuk mengerahkan sumber yang kami ada untuk membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran dan melindungi kesihatan serta keselamatan komuniti setempat.

“Marilah kita sama-sama melindungi diri kita dan orang tersayang dengan mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PPV Hospital Gleneagles Kota Kinabalu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, janji temu bagi pemberian vaksin di hospital itu juga ditentukan melalui aplikasi MySejahtera.

Pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 088-518888 atau Whatsapp di talian 012-9239442 ketika waktu pejabat, selain melalui emel [email protected].

Sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, mengumumkan sebanyak 1,000 klinik perubatan am swasta dan hospital swasta di seluruh negara dijadikan sebagai PPV sebelum 30 Jun ini.

Kerajaan Sabah sebelum ini mengumumkan sebanyak 20 hospital dan klinik swasta disenaraikan sebagai PPV bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan PICK di negeri ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *