Polis Tahan 21 Individu Serbu Pesta Hari Jadi Di KK

21 individu yang sedang leka berhibur ditahan kerana melanggar SOP dalam serbuan dilakukan di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Polis menahan 21 individu termasuk tujuh wanita yang sedang leka berpesta menyambut hari jadi di sebuah pusat hiburan di tingkat empat Kompleks Asia City, di sini, dalam Operasi Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam tadi.

Operasi jam 10 malam itu hasil pemantauan Pasukan Pematuhan Khas daripada cawangan jenayah, narkotik dan jenayah pemerdagangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata ketika serbuan dijalankan, semua suspek sedang leka berhibur di sebuah bilik di pusat hiburan itu.

“Ketika serbuan, polis ada sedikit halangan untuk masuk di dalam bilik berkenaan kerana mereka mengunci pintu dari dalam dan ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Tetapi kita berjaya memecah pintu dan masuk serta menahan mereka. Hasil pemeriksaan, didapati seramai 21 individu iaitu 14 lelaki dan tujuh wanita sedang berhibur di satu bilik di tingkat empat,” katanya ketika ditemui media.

Mohd Zaidi berkata, semua mereka berusia 21 hingga 35 tahun dan termasuk pemilik pusat hiburan berkenaan ditahan dan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh PKP 3.0.

“Pemilik premis dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP, beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh PKP, manakala 17 lagi dikompaun di atas kesalahan melanggar SOP iaitu berada di tempat hiburan dalam tempoh PKP dan didenda RM1,500 setiap seorang.

“Tiga lagi warga asing ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya kepada awam, yang boleh dipenjara selama enam tahun atau didenda atau kedua-duaanya,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati empat lelaki dan empat wanita positif dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, lesen pusat hiburan berkenaan tamat tempoh sejak 2018,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *