Polis Sabah Perketat Pemantauan SOP Di Daerah Meningkat Covid-19

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menghantar pasukan pematuhan tambahan di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 menggusarkan.

Ia bagi memperketatkan lagi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya di daerah seperti Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ini berikutan kenaikan statistik jangkitan Covid-19 di daerah berkenaan sudah berada pada paras amat membimbangkan.

Katanya, pihaknya sudah menghantar pasukan pematuhan tambahan ke daerah-daerah berkenaan bagi membantu menangani penularan kes Covid-19.

“Kita tidak akan berkompromi dan kita hantar pasukan pematuhan ke daerah yang kes penularannya meningkat seperti di Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

“Saya risau dengan Tawau kerana jangkitan Covid-19 di daerah itu berleluasa. Ini cukup merisaukan sebab itu saya hantar pasukan pematuhan yang lebih agresif terutama di Tawau dan Kalabakan.

“Begitu juga dengan peningkatan sedikit di Lahad Datu dan Kunak, oleh itu saya hantar pasukan pematuhan tambahan di sana,” katanya pada sidang media Pematuhan SOP Covid-19 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Hazani berkata, rakyat di Sabah perlu lebih mendisplinkan diri dengan mematuhi SOP yang dikeluarkab serta buang perasaan ego untuk keluar rumah.

“Patuh kepada SOP yang dikeluarkan dan juga buanglah perasaan ego nak berjalan atau sebagainya, duduk diam-diam di rumah. Jangan disebabkan keegoan kita, virus Covid-19 ini tersebar kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 60 kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Sabah pada hari pertama ‘lockdown’ yang dilaksanakan, semalam.

Bagaimanapun, pihaknya mengesan terdapat pengurangan jumlah kenderaan di atas jalan raya terutama dari Kudat sehingga ke Tuaran.

“Untuk semalam saja, kompaun yang kita keluarkan adalah sebanyak 60 kompaun dalam tempoh sehari tetapi untuk statistik kenderaan diarah berpatah balik saya belum dapat lagi.

“Namun semalam saya bergerak dari Kudat sehingga ke Kota Kinabalu dan sepanjang perjalanan dari Kudat sehingga ke Tuaran, saya dapati ada pengurangan kenderaan di jalan raya.

“Hasil temubual dengan anggota yang membuat SJR, pengurangan kenderaan didapati sehingga 85 peratus dan keadaan ini baik, pematuhan yang tinggi,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *