Lelaki Tempatan Ditahan Disyaki Bantu PTI Rentas Daerah

Kesemua penumpang terbabit ditahan untuk membantu siasatan.

SEMPORNA : Seorang lelaki tempatan disyaki membantu pendatang tanpa izin (PTI) merentas daerah ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di KM15 Jalan Semporna-Tawau, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, suspek,42, yang membawa tujuh penumpang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) ditahan anggota polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek sedang dalam perjalanan ke Tawau mengemukakan permit rentas daerah yang sah.

“Namun, jumlah penumpang melebih kapasiti dibenarkan iaitu masing-masing empat lelaki dan tiga wanita berumur antara 17 sehingga 43 tahun,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam

Menurutnya, pemeriksaan dokumen ke atas semua penumpang pula mendapati hanya dua daripada mereka mempunyai dokumen keterangan diri yang sah, manakala lima lagi gagal menunjukkan sebarang dokumen.

“Polis turut merampas dua keping pasport negara jiran daripada seorang penumpang wanita berusia 33 tahun.

“Semua penumpang termasuk suspek ditangkap dan kenderaan turut disita untuk siasatan lanjut,”katanya

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki berperanan sebagai penghantar migran ke destinasi ditetapkan.

“Suspek juga mengaku dibayar upah sebanyak RM100 oleh seorang lelaki yang baru dikenali di Bandar Semporna.

“Semua PTI terbabit juga mengaku baru memasuki daerah ini menggunakan sebuah bot pum dikendalikan seorang lelaki dipercayai tekong laut sebelum dibawa ke sebuah rumah kosong perkampungan atas air,”katanya

Mohd Farhan berkata, dengan tertangkapnya suspek bersama PTI itu, telah membongkar kegiatan penyeludupan migran di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 (Akta 670) kerana kesalahan mengangkut migran yang diseludup,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *