KOTA KINABALU: Semua premis perniagaan di Sabah kecuali stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi sehingga 7 malam bermula esok hingga 14 Jun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata arahan itu termasuk restoran, kafe, kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini dan pasar raya.
“Antara perniagaan lain yang hanya boleh beroperasi sehingga 7 malam ialah ‘food truck’, penjaja tepi jalan, medan selera dan ‘kiosk’ dengan pembelian makanan hanya terhad kepada secara pandu lalu atau penghantaran serta ‘take away’ saja.
“Bagaimanapun, operasi stesen minyak termasuk kedai serbaneka di dalam stesen berkenaan dibenarkan beroperasi bermnula 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.
Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, pasar borong juga dibenarkan beroperasi dari 12.01 pagi hingga 6 pagi manakala pasar awam boleh beroperasi bermula 6 pagi hingga 3 petang.
Bagaimanapun, pasar tamu, pasar minggu, pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 14 hari ini, bermula esok.
“Bagi aktiviti keagamaan pula, masjid dan surau dibenarkan beroperasi termasuk pelaksanaan solat fardu secara berjemaah dengan bilangan tidak melebihi 12 AJK masjid atau surau.
“Selain itu, pelaksanaan solat juga dibenarkan dengan bilangan 12 orang saja manakala solat hajat dibenarkan dengan bilangan tidak melebihi 12 orang AJK masjid atau surau.
“Bagi aktiviti rumah ibadat selain Islam, aktiviti dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat sahaja,” katanya.
Sementara itu, kebanyakan prosedur operasi setandard (SOP) yang ditetapkan hampir atau sama dengan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost