Lelaki Terselamat Diserang Buaya Di Sungai Gadong

Keadaan mangsa selepas diserang buaya.

BEAUFORT: Seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan seekor buaya dalam kejadian di kawasan laut di Sungai Gadong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kasturi Alang, 53, terpaksa menerima 17 jahitan selepas cedera di bahu dan belakang badan akibat digigit reptilia berkenaan.

Kasturi yang ditemui berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri serta ibu mertua pergi ke tempat kejadian untuk mencari siput.

Katanya, mereka kemudiannya berpecah ke tempat berasingan untuk mencari hasil siput di kawasan laut berkenaan.

“Bagaimanapun, dalam sekelip mata, saya diserang dari arah belakang oleh seekor buaya. Saya terpaksa bergelut hampir lima minit di dalam air sebelum berjaya melepaskan diri.

“Isteri dan ibu mertua yang berada berhampiran juga tidak dapat berbuat apa-apa namun bernasib baik kerana tidak diserang buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasturi berkata, selepas berjaya keluar menyelamatkan diri, dia menyedari mengalami kecederaan di belakang badan dan bahu kanan.

Katanya, mereka kemudiannya bergegas keluar dari kawasan itu dan terus ke Klinik Kesihatan Padas Damit untuk mendapatkan rawatan.

“Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Beaufort untuk menerima rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialami,” katanya.

Kasturi yang tinggal di Kampung Bintuka berkata, sebelum ini mereka sedia maklum kawasan itu sememangnya ada buaya namun tidak pernah berlaku sebarang kejadian serangan haiwan berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana terselamat dan kini berada dalam keadaan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *