Kerajaan Negeri Disaran Salur Bantuan ‘One Off’ Segera

BEAUFORT : Kerajaan Negeri Sabah disaran supaya menyediakan satu bentuk bantuan kepada rakyat di negeri ini memandangkan kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘Total Lockdown’ bermula 1 Jun depan sehingga 14 Jun 2021.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Hajah Johair Matlani berkata, kerajaan perlu bertindak segera mengenai perkara itu bagi memastikan rakyat khususnya golongan B40 tidak terkesan teruk sepanjang PKP ‘Total Lockdown’ nanti.

Johair Matlani


Katanya, walaupun usaha tersebut perlu dilakukan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, beliau gusar sekiranya kerajaan negeri tidak menyalurkan (umum) apa-apa bentuk bantuan dengan kadar segera kepada rakyat, ianya akan memberi kesan terhadap kehidupan mereka.


“Saya mencadangkan supaya kerajaan menyalurkan bantuan segera sebelum pelaksanaan PKP (1 Jun) tidak kira sama ada dalam bentuk bantuan makanan atau pun wang ringgit secara ‘one off’ memandangkan tinggal tiga hari lagi.


“Sama-samalah kita berdoa agar kerajaan negeri mendengar perkara ini dan menyegerakan bantuan ini dengan segera. Kos sara hidup rakyat tetap sama walau apapun senarionya, lebih-lebih lagi mereka yang bergantung dengan pendapatan harian.

“Lebih menyedihkan lagi ada yang kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba, kadar pengangguran pun semakin bertambah. Bantulah mereka ini kerana mereka amat memerlukan bantuan, anak-anak mereka perlukan susu, perlu beras untuk dimakan.


“Jangan kira apa pandangan politiknya, jangan lihat bentuk rumahnya, jangan kira berapa ramai anaknya yang sudah hidup sendiri. Semua pun kini terkesan teruk, ” kata Johair yang juga Ketua Bahagian WARISAN Beaufort.


Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun sehingga 14 Jun 2021.


Berikutan itu, Kerajaan Negeri Sabah turut mengeluarkan kenyataan untuk turut melaksanakan ‘total lockdown’ selama dua minggu mulai 1 Jun sehingga 14 Jun 2021 bagi membendung peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri ini.


Dalam kenyataan itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor ekonomi dan Perkhidmatan Perlu yang dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKP akan diumum dalam masa terdekat ini. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *