‘Dine-In’ Tidak Dibenarkan Mulai Esok Hingga 2 Jun Depan – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Jurucakap COVID-19 kerajaan Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan ‘dine-in’ di semua restoran dan kedai makan bermula pada 29 Mei ini sehingga 2 Jun depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, usaha itu diambil berikutan kes baharu COVID-19 di Sabah semakin meningkat hari demi hari.

“Hari ini jumlah kes baharu COVID-19 adalah sebanyak 308 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 61,582 kes. Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu. 

“Pada hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan yang ketara berbanding kelmarin iaitu daripada 217 kes kelmarin (27 Mei 2021) kepada 308 kes (28 Mei 2021) hari ini dengan peningkatan sebanyak 91 kes.

“Daripada 308 kes jangkitan baharu hari ini, 123 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 115 kes adalah daripada saringan kluster, 51 kes adalah daripada saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti bersukan seperti berjoging dan berbasikal dalam satu-satu masa adalah dihadkan kepada tidak melebihi lima orang sahaja.

Katanya, senaman Zumba, senam robik dan senaman berkumpulan tidak dibenarkan. Seperti yang telah dimaklumkan dalam kenyataan media semalam, sukan golf adalah dibenarkan. 

Bagaimanapun katanya, kafe Kelab Golf tidak dibenarkan beroperasi.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tiga lokaliti iaitu Kg. Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Baking dan Kg. Baru Pasir Putih bermula 30 Mei 2021 hingga 12 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju melanjutkan PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau bermula 30 Mei sehingga 12 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *