Puisi Bahasa Isyarat Pelajar KV Keningau Sabah Menang Di Karnival Seni Portugal

KENINGAU: Empat pelajar istimewa dari Kolej Vokasional Keningau telah menyampaikan empat puisi menggunakan bahasa isyarat yang telah dirakam dan dihantar ke karnival seni Portugal (Portugal Art Carnaval) yang dilaksanakan secara maya pada 25 Mei 2021.

Persembahan mereka yang bertajuk “Sign Language Poetry: Mystical Nature” berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori persembahan puisi yang dinilai oleh empat juri terkenal yang dilantik oleh penganjur, Monolit Festival.

Pasukan tersebut terdiri dari empat pelajar berkeperluan khas yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat iaitu Farhan Azrey Bin Jais, Dymphna Simon, Calvin Junior John Liwo dan Nurazwin Liyana Binti Abdullah. Mereka masing-masing menyampaikan puisi yang berkaitan dengan budaya etnik di Sabah.

Farhan Azrey menyampaikan puisi berjudul “Jomo Teko” (mereka tiba) yang menyentuh sejarah kaum nomad yang lebih suka menetap di kawasan laut. Dymphna Simon mempersembahkan puisi bertajuk “Ngakak” yang merupakan makhluk mitos yang ditakuti penduduk kampung pada masa dahulu.

Calvin Junior berjaya menggambarkan kecantikan alam semulajadi melalui puisi “Manuk-Manuk” (serangga terbang) melalui expresi wajah dan pergerakan tangannya manakala penghayatan Nurazwin Liyana dalam mempersembahkan puisi “Mother” dapat menimbulkan perasaan rindu dan kasih saying dikalangan penonton.

Pasukan ini tekad dalam misi mereka untuk membuka laluan kepada individu berkeperluan khas agar dapat menyertai aktiviti yang kebiasaannya menggunakan bahasa lisan melalui alternatif lain seperti bahasa isyarat.

Mereka berjaya membuktikan bahawa bahasa isyarat mampu digunakan dalam seni persembahan dan menyampaikan mesej karya sastera.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menzahirkan rasa bangga beliau dengan pencapaian pelajar-pelajar ini yang mampu memberi impak kepada sistem pendidikan khas di negara ini.

Video persembahan mereka bolehlah diakses melalui pautan YouTube:

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *