Nazirul Sah Sertai Sabah FC

Nazirul Naim Che Hashim

KOTA KINABALU: Sabah Football Club (FC) hari ini, mengumumkan bekas pertahanan kiri Perak FC, Nazirul Naim Che Hashim akan menyarung jersi pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Super, musim ini.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, pihaknya sudah menerima maklum balas rasmi daripada Perak FC berhubung pelepasan bekas pemain kebangsaan berusia 28 tahun itu.

“Saya harap kehadiran Nazirul dan akan memperkuatkan lagi pasukan yang dibimbing Kurniawan (Dwi Yulianto) ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemain kelahiran Kuala Kangsar yang beraksi bersama Perak sejak 2016 itu, baru-baru ini, memohon pelepasan daripada Perak FC dan menjadi pemain terbaru meninggalkan The Bos Gaurus selepas Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, dua lagi pemain iaitu Kenny Pallraj dan J Parthiban turut meninggalkan Perak FC untuk menyertai KL City FC.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Marzuki mengesahkan dua pemain muda Sabah FC yang juga bekas pemain skuad B19 kebangsaan, Arius Dius Jais dan Evan Wensley Wenceslaus akan dipinjamkan selama enam bulan kepada pasukan Kelantan United FC untuk baki saingan Liga Premier, musim ini.

“Pihak pengurusan Sabah FC ingin melihat kedua-dua pemain muda ini berkembang dan menimba pengalaman bermain bersama kelab lain, sekali gus menambahkan lagi minit permainan mereka.

“Selain dapat meningkatkan mutu permainan dan keyakinan ia juga baik untuk Sabah FC pada masa akan datang,” katanya.

Arius dan Evan yang kini berusia 23 tahun akan menguatkan lagi barisan pemain Kelantan United dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Ia kali pertama dua pemain ini berhijrah ke pasukan lain selepas bermain bersama pasukan B19 Sabah sejak 2016 sebelum Evan dinaikkan ke skuad senior pada 2018 dan Arius pada 2019.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost