Polis Cari Lelaki Filipina Bantu Siasatan Kes Palsu Permit Rentas Daerah

SEMPORNA, 25 Mei : Polis Semporna sedang mengesan seorang lelaki warga Filipina bagi membantu siasatan kes pemalsuan borang kebenaran rentas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penahanan 22 penumpang bas ekspres menggunakan permit palsu pada Jumaat lepas dalam satu sekatan jalan di KM15 Semporna-Tawau.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata suspek Alnajib Salleh, 32, beralamat tetap di Kampung Kamar Mayat, Semporna adalah kerani di sebuah syarikat bas ekspres di sini dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada Jumaat lepas, kira-kira 8.30 malam, polis yang bertugas di KM15 menahan sebuah bas ekspres dari pekan Semporna dipercayai mahu ke Kota Kinabalu dan hasil pemeriksaan terhadap 22 penumpang, berumur 13 hingga 46 tahun itu didapati mereka menggunakan 18 keping permit palsu, berdasarkan nombor siri permit itu.

“Susulan itu, pada 11 malam hari yang sama, polis menyerbu dan memeriksa sebuah pejabat syarikat bas ekspres berkenaan di pekan Semporna, dan hasil serbuan polis merampas 13 keping salinan borang kebenaran pergerakan yang belum diisi, tujuh keping salinan borang bertulis, satu set komputer dan pencetak serta dokumen syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sehari selepas itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani di syarikat bas ekspres berkenaan bagi membantu siasatan, selain merakam keterangan pemilik syarikat sebagai saksi.

“Berdasarkan rakaman keterangan kerani wanita ini bahawa penumpang membayar RM10 bagi setiap borang kepada suspek lelaki yang melarikan diri ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata 10 daripada 22 penumpang yang ditahan reman selama empat hari dibebaskan hari ini dengan jaminan polis, manakala 12 individu lagi yang juga warga asing ditahan sehingga 28 Mei.

Mohd Farhan berkata polis memandang serius kes pemalsuan borang kebenaran rentas negeri  sama ada membabitkan sindiket atau individu serta menjual borang berkenaan akan dikenakan tindakan setimpal.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua borang kebenaran rentas hanya boleh diperolehi di Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai polis berhampiran sahaja dan tiada pengeluaran mahupun penjualan borang seumpamanya di kaunter bas atau melalui pihak ketiga. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *