Patuh SOP Tetapi Dedah Anak Kecil Kepada Bahaya COVID-19 Di Pasar Raya

KOTA KINABALU, 24 Mei: Walaupun mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah jangkitan COVID-19, tindakan ibu bapa membawa anak-anak kecil ke pusat beli-belah boleh mendedahkan anak-anak itu kepada bahaya pandemik itu.

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di bandar raya ini mendapati ada ibu bapa yang membawa anak-anak semuda tiga tahun untuk membeli belah.

Petugas dan peniaga pasar raya yang ditemui Bernama nyata gusar dengan situasi itu, bagaimanapun mereka hanya mampu menasihatkan ibu bapa terlibat kerana masih tiada larangan membawa anak kecil ke premis pasar raya dan perniagaan dikuatkuasakan dalam SOP pencegahan COVID-19 Negeri Sabah, di mana tindakan itu hanya tidak digalakkan. 

Lebih merisaukan walaupun SOP seperti memakai pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan mencuci tangan dipatuhi, pasar raya itu masih dipenuhi pengunjung sekali gus dilihat menyukarkan SOP penjarakan fizikal dipatuhi. 

Pengawai keselamatan sebuah pasar raya Andy Laising, 45, berkata beliau serta petugas cuba menasihatkan ibu bapa terlibat supaya meminimakan jumlah ahli keluarga yang masuk ke premis, namun nasihat itu sukar diikuti pengunjung terlibat malah ada ketika dimarahi kerana dikatakan menyusahkan. 

“Kita beri nasihat hanya bapa yang masuk atau dua, tiga orang masuk, (manakala) ibu atau ahli keluarga lain boleh bawa anak-anak makan dahulu di restoran berdekatan atau tunggu dahulu di dalam kereta. Tetapi kita tidak dapat paksa mereka (berbuat demikian) kerana tiada SOP kata (anak kecil) tidak boleh masuk. Saya sendiri pun tidak benarkan anak saya keluar masa ini kerana takut COVID-19,” katanya kepada Bernama. 

Laising berkata orang ramai perlu faham  pasar raya boleh menjadi tempat penyebaran COVID-19 sekiranya pengunjung tidak mengambil langkah berhati-hati, malah ada pasar raya di bandar raya ini diarah tutup sementara bagi kerja-kerja sanitasi kerana kes COVID-19 dikesan. 

Pengurus jualan sebuah rangkaian kedai kasut di sebuah pasar raya di sini Ameline Sarabatin, 25, berkata beliau telah diarahkan oleh pihak pengurusannya untuk mengurangkan jumlah pelanggan memasuki premis itu kepada 10 orang kerana bimbang penularan COVID-19 terutama dalam kalangan kanak-kanak. 

“Kanak-kanak ini aktif dan kita bimbang jika mereka ke sana sini dalam kedai mereka boleh terdedah (COVID-19) jadi selalunya kita minta mereka tunggu di luar kedai dan hanya benarkan beberapa orang ahli keluarga yang masuk,” katanya. 

Seorang bapa yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 32, berkata beliau terpaksa membawa dua anak mereka berusia empat dan 10 tahun ke pasar raya untuk membeli barang keperluan kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga anaknya. 

“Isteri pula hari ini terpaksa bekerja, anak kecil sukar pula mahu tinggal di rumah. Mahu tinggalkan dengan ahli keluarga lain sukar pula jadi saya terpaksa juga bawa,” katanya yang menerangkan terpaksa membeli barang keperluan hari ini kerana bimbang sukar berbuat demikian setelah larangan rentas daerah dikuatkuasakan bermula esok. 

Seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Zainon, 41, berkata beliau terpaksa membawa anaknya ke pasar raya kerana mahu membeli barang keperluan anak seperti pakaian, dan sukar untuk mencari saiz pakaian yang sesuai sekiranya tidak dicuba kepada anaknya.

Di SARAWAK pula, peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di negeri itu sejak kebelakangan ini menyebabkan orang awam memilih untuk mengamalkan kawalan kendiri di rumah daripada berada di tempat awam.

Tinjauan Bernama di pusat beli-belah di sekitar bandaraya Kuching hari ini mendapati keadaan lengang walaupun sewaktu hujung minggu. Pihak pengurusan pusat beli-belah juga dilihat memperketatkan kawalan di pintu masuk bagi memastikan individu yang masuk bukanlah daripada mereka yang berisiko.

Adlene Sia, 31, yang bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salon di pusat beli-belah itu, berkata pelanggan yang datang semakin berkurangan walaupun di hujung minggu apatah lagi pada hari bekerja.

“Walaupun pada bulan ini terdapat perayaan Hari Raya Aidilfitri dan tidak lama lagi sambutan Gawai namun pelanggan tetap berkurangan… begitu juga dengan mereka yang membeli-belah di sini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *