Mungkin Bukan ‘Lockdown’ Penuh, Tetapi PKPD

KUALA LUMPUR: Walaupun dikhuatiri “lockdown” penuh akan dikuatkuasakan ekoran lonjakan kes Covid-19, semua petanda menunjukkan kerajaan mungkin tidak akan melaksanakannya di seluruh negara.

Menurut sumber, kerajaan membuat keputusan untuk tidak melaksanakan “lockdown” penuh setelah mendengar pandangan pihak-pihak berkepentingan hari ini.

Sebilangan besar wakil industri menentang habis-habisan “lockdown” seperti ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0, apabila hampir semua sektor ditutup, kecuali perkhidmatan dan industri perlu.

Bagaimanapun, satu sumber berkata, kebanyakannya menyokong pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan PKP diperketat (PKPD) berdasarkan lokaliti, tanpa kompromi.

“Ramai merayu agar program vaksinasi kebangsaan dipercepat, dengan industri-industri berjanji memberi bantuan,” kata sumber.

Satu lagi sumber berkata, industri-industri diminta memainkan peranan lebih penting untuk mengamalkan dan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah bagi mengelakkan kontak langsung sebaik boleh.

“Lebih sedikit orang bergerak, lebih baik. Mereka diberitahu, lebih baik mengurung diri di rumah, jika boleh, untuk memutuskan rantaian (jangkitan),” katanya.

Menurut satu sumber, Kementerian Kewangan turut menentang penutupan perniagaan dan telah menyampaikan pandangannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan ada menyatakan hasrat melaksanakan ‘lockdown’ penuh bagi memutuskan rantaian (jangkitan) tetapi terpaksa mencari keseimbangan bagi memastikan mata pencarian tidak terjejas teruk,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan menyarankan supaya memaksa rakyat berkurung dalam rumah sebaik boleh, dengan mengehadkan bilangan orang yang keluar membeli barang keperluan selama beberapa jam.

Dalam mesyuarat hari ini, dimaklumkan bahawa berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, 69% daripada jumlah jangkitan datang dari sektor ekonomi, bermaksud, menjadi tanggungjawab industri untuk mengukuhkan kawalan dalaman.

“Turut dibimbangi adalah kepatuhan majikan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), yang hanya pada paras 65 hingga 70%.

“Kerajaan mahu ini dipertingkat dalam usaha melawan wabak,” kata sumber.

Sumber berkata, turut dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah kadar vaksinasi yang secara relatifnya, perlahan, dan ramai berpendapat ia perlu dipercepat.

Difahamkan, bagi tujuan mempercepat kadar vaksinasi, kerajaan mahu mendirikan lebih banyak pusat, selain melibatkan perkhidmatan kesihatan dan rawatan swasta.

“Keputusan muktamad akan dibuat MKN,” kata sumber. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *