Pusat Beli Belah Kompleks Ujana Kewangan Labuan Diarah Tutup

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata pihaknya mengesan satu kes positif melibatkan kakitangan dan beberapa pesakit positif COVID-19 yang berkunjung ke premis di kompleks berkenaan. – Sumber foto Google

LABUAN: Jabatan Kesihatan Labuan hari ini mengarahkan pusat beli-belah di Kompleks Ujana Kewangan Labuan ditutup berkuat kuasa hari ini ekoran beberapa penemuan kes COVID-19 di premis berkenaan.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata pihaknya mengesan satu kes positif melibatkan kakitangan dan beberapa pesakit positif COVID-19 yang berkunjung ke premis di kompleks berkenaan.

Beliau berkata penutupan tiga hari sehingga 16 Mei itu bertujuan untuk mengesan kontak dan proses sanitasi.

Pengurus kanan kompleks, Ishamuddin Mansor berkata penutupan itu tidak membabitkan ratusan unit pejabat kewangan luar pesisir Malaysia dan antarabangsa di bangunan pejabat utama kompleks berkenaan.

“Pangsapuri Perkhidmatan Beta dan Kondominium Alpha yang terletak di dua sayap kompleks kekal dibuka kepada penyewa, namun dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Arahan penutupan pusat beli-belah berkenaan hari ini merupakan kali kedua selepas November lepas dengan kemunculan kluster Sky Coklat membabitkan beberapa staf kedai bebas cukai.

Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes jangkitan sebanyak 2,507 setakat ini dengan satu kluster aktif Layang-Layangan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *