4 Daripada 6 Lolos Dari Depoh Tahanan Manggatal Diberkas

Pasukan LSF berkawal dalam kawasan Depoh Tahanan Imigresen Manggatal, Kota Kinabalu pada 25 April lalu apabila ada sebilangan tahanan dikatakan merusuh kerana tidak dapat balik Raya. – Foto fail PDRM

KOTA KINABALU: Empat daripada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini semalam, sudah diberkas semula.

Keempat-empat suspek warga Filipina berusia 20 hingga 40-an itu diberkas pihak berkuasa di sekitar lima kilometer radius dari kawasan DTI kira-kira jam 8 malam.

Sumber berkata, operasi memburu suspek yang melarikan diri itu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia.

Setakat ini, hanya dua lagi PATI yang masih bebas dan operasi memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan pasukan keselamatan.

“Kecekapan pasukan keselamatan menjalankan operasi dapat mengesan empat daripada kumpulan suspek yang meloloskan diri dari DTI, semalam.

“Semua empat suspek yang ditahan sudah dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya sambil menambah gerakan memburu dua lagi yang masih bebas akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat suspek terbabit.

Katanya, operasi memburu dua lagi suspek akan dipertingkatkan termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Dalam kejadian semalam, enam tahanan di DTI Manggatal melarikan diri dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, tiga daripada tahanan terbabit ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost