Rakyat Perlu Faham Tindakan Kerajaan Laksana Sekatan, Kata Hajiji

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata rakyat perlu akur kerana penularan pandemik menyebabkan tiada lagi sambutan seperti dahulu termasuk bebas untuk bersalaman dan mengunjungi rumah terbuka saudara serta rakan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata rakyat Sabah harus memahami setiap tindakan kerajaan yang melaksanakan sekatan seperti perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atau PKP ketika musim perayaan ini.

Katanya, kerajaan mempunyai sebab untuk berbuat demikian termasuk yang paling utama bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Ketibaan 1 Syawal yang akan diraikan Khamis ini, adalah satu tanda kemenangan kepada umat Islam selepas berpuasa selama sebulan.

“Walaupun tahun ini kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam keadaan norma baharu, namun ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan itu.

“Sehubungan itu, rakyat di negeri ini harus terus mematuhi SOP ditetapkan sepanjang sambutan Aidilfitri bagi memutuskan penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.

Hajiji berkata, rakyat perlu akur kerana penularan pandemik menyebabkan tiada lagi sambutan seperti dahulu termasuk bebas untuk bersalaman dan mengunjungi rumah terbuka saudara serta rakan.

“Walaupun begitu, seperti perayaan lain, Aidilfitri akan terus menjadi tonggak perpaduan dan diraikan tanpa mengira bangsa serta agama semoga kita semua kekal selamat dan begitu juga orang sekelilling kita,” katanya.

Sempena Aidilfitri ini juga, Hajiji turut meminta semua masyarakat supaya tidak melupakan pengorbanan barisan hadapan yang bekerja-keras memerangi penularan Covid-19.

“Begitu juga anggota pasukan keselamatan kita yang tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri ini, kerana bertugas melindungi negara. Kita berdoa mereka dijauhkan daripada bahaya dan terima kasih atas perkhidmatan diberikan,” katanya.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berjalan lancar dan saya meminta kerjasama semua pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin itu kerana kita mesti melawan pandemik ini dan menghentikannya daripada terus menjejaskan ekonomi serta kehidupan kita,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *