Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 Mulai 7 Mei

PUTRAJAYA: Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 akan diagihkan kepada 8.4 juta penerima bermula 7 hingga 12 Mei ini.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata bayaran itu melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.

“Fasa 2 BPR merangkumi 3.6 juta isi rumah, 1 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

“Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.

“Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam Fasa 1 sebelum ini, BPR berjumlah RM1.93 bilion diagihkan kepada 8.4 juta penerima dari 24 Feb hingga 1 April 2021.

Tengku Zafrul berkata, semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

Beliau berkata, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.

“Sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, melalui pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM4.68 bilion kepada penerima yang layak.

Sebelum ini, katanya kerajaan telah memberi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 yang diagihkan mulai 21 Jan lalu.

“Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2708