Penjenayah Bersenjata, Ganas Maut Ditembak

Mohd Farhan Lee menunjukkan parang yang digunakan suspek ketika menyerang anggota polis. – Foto Abdul Rahemang Taiming

SEMPORNA: Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang anggota penguat kuasa itu menggunakan parang di perkampungan atas air di Kampung Panji Laut, dekat sini, 11.30 malam kelmarin.

Suspek dikenali sebagai Jamal Salih Kaldo, seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes curi dan pecah rumah selain pelbagai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pada awalnya Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat berhubung kelibat suspek berusia 40 tahun itu sebelum polis membuat serbuan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa menggunakan bot samaran sebelum serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah.

“Selepas memperkenalkan diri, pasukan serbuan bertindak menolak pintu bilik sebelum suspek dilihat mencapai sebilah parang panjang lalu terus meluru sambil melibas parang ke arah anggota.

“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan amaran sebelum terkena pada bahagian paha, namun lelaki itu terus menyerang anggota polis,” kata pada sidang media di sini hari ini.

Farhan berkata, suspek bagaimanapun enggan menyerah sebaliknya terus bertindak agresif dan semakin ganas sebelum tembakan kedua terpaksa dilepaskan dan mengenai bahagian tengah perut suspek.

Beliau berkata, anggota polis melepas tembakan ketiga apabila suspek yang dalam keadaan cedera masih bertindak menyerang anggota polis termasuk menggunakan ‘flying feather’ (lastik panah).

“Suspek akhirnya rebah di lantai selepas tembakan ketiga itu mengenai bahagian perut kiri dan rusuk sebelum dia disahkan meninggal dunia di hospital jam 12.40 tengah malam.

“Turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 70 sentimeter (cm), lastik, anak panah dan pisau,” katanya.

Farhan berkata, dengan tumpasnya suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes jenayah membabitkan kes curi dan pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9311