Pelajar Istimewa KV Keningau Menang World Changer

KENINGAU: Muhammad Aizat Izzuddin Bin Azme, pelajar berkeperluan khas dari Kolej Vokasional Keningau, telah diiktiraf dengan anugerah World Changer oleh persatuan antarabangsa, Special Education Network & Inclusion Education (SENIA) bagi bulan Mei 2021.

Pengiktirafan tersebut yang dianugerahkan setiap bulan adalah bertujuan untuk mempertengahkan individu yang telah memartabatkan golongan individu istimewa serta pendidikan khas melalui sumbangan mereka dalam bidang tertentu.

Pada 1 Mei 2021, Aizat Izzuddin telah diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut atas penglibatan aktifnya dalam bidang seni persembahan dan seni visual melalui penyampaian puisi dan cerita serta hasil ilustrasi dan poster yang dilukisnya.

Pada tahun 2020, Aizat Izzuddin telah mempersembahkan beberapa cerita pendek dan puisi yang bertemakan budaya etnik Sabah bersama rakan kelasnya di festival sastera anjuran sebuah persatuan di Brunei.

Festival tersebut yang dikenali sebagai “Tiny Lit Fest” dilaksanakan selama seminggu secara bersemuka dan dalam talian.

Pada awal tahun 2021, Aizat bersama dua lagi rakan kelasnya mewakili Malaysia bertanding di Asian English Olympics dalam kategori penyampaian cerita.

Mereka bertiga merupakan peserta berkeperluan khas yang pertama menyertai pertandingan tersebut. Aizat turut melukis ilustrasi untuk persembahan yang berbentuk animasi dan dia juga pernah menyertai pertandingan melukis poster di peringkat kebangsaan.

Sumbangannya dalam bidang seni berjaya membuktikan kemampuan pelajar berkeperluan khas untuk berjaya dalam bidang yang mereka minati setanding dengan pelajar-pelajar lain.

Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Bin Sabin, meluahkan rasa gembiranya dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Aizat Izzuddin kerana ianya menunjukkan betapa pentingnya pendidikan inklusif dimana kesemua pelajar diberi peluang dan bimbingan secara sama rata tanpa mengetepikan sesiapa terutamanya golongan pelajar istimewa.

Dia mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar pendidikan khas yang gigih membantu para pelajar ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *