COVID-19: 6 Hospital Di Tahap Ambang Amaran

KUALA LUMPUR: Enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) dikhususkan untuk pesakit COVID-19 didapati melebihi tahap ambang amaran.

Ini berikutan kadar penggunaan katil di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kini masing-masing melebihi tahap 70 peratus.

Lebih membimbangkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ada antara hospital berkenaan ketika ini menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil 100 peratus.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU COVID-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan mencapai 90 peratus pada pagi ini.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

“Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau ICU secara berfasa bagi memenuhi peningkatan keperluan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lalu lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila wujud keperluan mendesak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham semalam dilaporkan berkata peningkatan kes jangkitan COVID-19 sejak lima minggu kebelakangan ini menyebabkan kapasiti kesihatan di Lembah Klang kini berada pada tahap membimbangkan.

Sekiranya aliran peningkatan kes berterusan, KKM gusar keupayaan itu bertukar kritikal, sekali gus memberi kesan negatif terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

Berdepan situasi kritikal, Dr Noor Hisham berkata, pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan digerakkan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal, termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu.

“Mereka akan dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang dipersetujui, malah ia mula dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun lalu dan masih diteruskan sehingga kini.

“Sekiranya pola peningkatan kes COVID-19 berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta masyarakat untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) nasihat kesihatan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Katanya, tahap pematuhan SOP 100 peratus oleh semua pihak amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut pandemik kesihatan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *