Jika Perlu, Laksana semula PKP, Tapi Pastikan Kali Terakhir, Titah Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan memandang ringan SOP adalah sikap berbahaya yang akan membebankan kemudahan penjagaan kesihatan.

KUALA LUMPUR: Sultan Johor kesal kes Covid-19 kembali meningkat sehingga menimbulkan “rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi” dalam kalangan rakyat.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ketat perlu dilaksanakan semula, ia harus “buat kali terakhir, tetapi berkesan”.

Beliau mahukan pihak berkenaan memastikan orang ramai memainkan peranan masing-masing dengan rajin mematuhi peraturan, jika PKP diperkenalkan semula.

Sultan Ibrahim kesal kerana penularan semula Covid-19 menyebabkan situasi kritikal di beberapa negeri, termasuk Johor.

“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

“Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi,” kata baginda.

Sultan Ibrahim berkata, rakyat tidak boleh mengabaikan SOP, walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

“Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain. Sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita,” kata baginda.

Sultan Ibrahim juga mahu agensi penguatkuasaan bertindak lebih tegas, tetapi adil terhadap mereka yang melanggar SOP.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” tambah baginda.

Semalam, Malaysia mencatatkan 2,881 kes baharu Covid-19, dengan 15 kematian.

Selangor mencatat jumlah jangkitan tertinggi iaitu 759 kes, manakala Johor merekodkan 310 kes. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *