Kreatif Bentuk Panjut KRI Nanggala 402

Panjut dengan rekabentuk kapal selam KRI Nenggala-402 jadi tumpuan dan tular di lamam sosial beberapa hari lalu.

BAGAN SERAI: Bagi memberi penghormatan kepada 53 kru KRI Nanggala 402, enam penduduk Kampung Bukit Merah, di sini, mempamerkan kreativiti dengan menghasilkan replika kapal selam itu menggunakan panjut.

Salah seorang daripada mereka, Azizul Hafiz Mohd Nordin, 34, berkata idea berkenaan tercetus selepas kampungnya menyertai Pesta Panjut Ramadan anjuran Umno Bagan Serai pada tahun ini.

Menurutnya, dia bersama lima rakannya sepakat membuat panjut berbentuk kapal selam yang tenggelam di perairan Bali, Indonesia sebagai penghormatan.

Katanya, tragedi yang mengorbankan kesemua anak kapal memberi impak emosi cukup mendalam kepada rakyat di kebanyakan negara termasuk di Malaysia yang turut bekerjasama dalam misi mencari dan menyelamat.

“Asalnya kami nak buat panjut dengan reka bentuk kapal biasa, namun sepakat membuat reka bentuk KRI Nanggala 402 selepas dicadangkan rakan mengenai kapal selam itu

“Reka bentuk kapal selam ini sepanjang hampir lapan meter dan tinggi mencecah tiga meter,” katanya dihubungi, di sini.

Menurutnya, panjut kapal selam KRI Nanggala 402 didirikan di pekarangan CTC Bukit Merah bersama tiga panjut lain berbentuk rumah kampung, pintu gerbang dan kereta api elektrik (ETS).

Katanya, panjut berbentuk kapal selam itu masih belum siap sepenuhnya kerana baru mencapai tahap 80 peratus.

“Kami kini dalam peringkat akhir untuk menyiapkan kapal selam ini dan setakat ini lebih 120 panjut dan pelita sudah digunakan.

“Kami lebih suka guna pelita buluh kerana ianya lebih nostalgia berbanding pelita plastik. Walaupun sedikit remeh, tetapi hasilnya amat memuaskan hati,” katanya yang memaklumkan penilaian pertandingan pesta panjut itu akan dibuat bermula 6 Mei ini.

Kali terakhir pesta panjut diadakan di kawasan itu pada 2017 dan Kampung Bukit Merah berjaya meraih tempat ketiga menerusi panjut bentuk rumah kampung.

Terdahulu, gambar panjut KRI Nanggala 402 tular di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas salah seorang peserta berkongsi hantaran itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *