PKPD Kampung Baru Pasir Putih, Tawau Tidak Dilanjutkan

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU, 28 April : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau  tidak akan dilanjutkan seperti diumum semalam dan ditamatkan hari ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun. 

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai COVID-19 berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko terkini daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“KKM telah melakukan 847 ujian saringan COVID-19 di Kampung Baru Pasir Putih, daripada jumlah itu 23 orang penduduk didapati positif manakala 824 adalah negatif dan semua keputusan ujian saringan telah diketahui. 

Namun dalam masa yang sama kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Kawalan Operasi  Bencana Daerah Tawau untuk terus memantau keadaan di lokaliti tersebut bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan sebaiknya,” katanya menerusi satu kenyataan di sini malam ini. 

Kampung berkenaan dikenakan PKPD bermula pada 1 April hingga 14 April kemudian disambung sehingga hari ini dan semalam Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di lokaliti itu dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei depan.

Sementara itu Masidi berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Madai melibatkan 18 kes positif COVID-19 di Kunak dan 12 kes di Lahad Datu. 

Beliau berkata 87 kes positif COVID-19 baharu direkodkan di Sabah hari ini dan 189 pesakit sembuh serta dibenarkan keluar daripada hospital. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *