Sabah Teruskan Usaha Selesai Isu PATI – Bung Moktar

Timbalan Ketua Menteri l yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU, 28 April : Kerajaan negeri Sabah menubuhkan jawatankuasa teknikal peringkat negeri bagi menangani masalah pendatang haram, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata jawatankuasa teknikal itu yang dipengerusikannya sendiri, dibahagikan kepada Jawatankuasa  Keselamatan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, dan Jawatankuasa Pendatang Haram dan Pekerja Asing dipengerusikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta dianggotai jabatan dan agensi berkaitan.

“Isu pendatang haram, pekerja asing dan keselamatan di sempadan di negeri ini merupakan isu yang tertunggak sejak sekian lama yang hingga kini belum ada penyelesaian sepenuhnya… ia memerlukan usaha bersepadu pemimpin-pemimpin persekutuan, negeri dan orang ramai.

“Diharap melalui jawatankuasa ini, kata putus dapat dicapai dalam pelbagai isu berbangkit melibatkan pendatang haram dan keselamatan,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah dalam kenyataan di sini hari ini.

Bung Moktar juga meminta semua pihak agar tidak menuding jari kepada sesiapa sekiranya mereka mahu isu pendatang haram dan keselamatan di Sabah diselesaikan.

Sebaliknya kata beliau semua pihak perlu bekerjasama tanpa mengira fahaman politik, bangsa, agama dan status bagi memastikan Sabah bebas daripada isu itu.

“Sekarang adalah masa paling sesuai untuk menangani masalah berkenaan kerana kerajaan persekutuan juga turut menyokong penghantaran pendatang haram ke negara asal masing-masing,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *