Mayat Lelaki Dibaham Buaya Ditemui

Mayat mangsa, Mazlan Ampung, 26, yang hilang disyaki dibaham buaya ketika mandi di Sungai Brantian, di sini, sejak semalam ditemui kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

KALABAKAN: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang sejak malam tadi selepas disyaki dibaham buaya ketika mandi di Sungai Brantian, dekat sini, ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Mazlan Ampung, 26, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang oleh anggota bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jam 12.30 tengah hari.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Madzlan Sarman, berkata SAR diaktifkan semula jam 8.30 pagi ini membabitkan 41 anggota terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk.

Beliau berkata, keadaan fizikal mangsa ketika ditemui masih sempurna namun terdapat kesan gigitan pada pinggang sebelah kiri dipercayai akibat serangan buaya.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Madzlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.43 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, hasil maklumat awal daripada saksi yang juga adik mangsa memaklumkan abangnya mandi di tebing terbabit sebelum terdengar suara jeritan mangsa.

“Saksi kejadian percaya mangsa dibaham buaya ketika berada di dalam air kerana ternampak kocakan air yang besar dan kuat di permukaan sungai tempat mangsa mandi,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *