Ditemui Mati Dalam Kereta Akibat Masalah Cinta

Keadaan mangsa yang ditemukan maut di dalam keretanya di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Divatto, Penampang

PENAMPANG: Kecewa berdepan masalah cinta dengan kekasih dipercayai punca seorang lelaki membunuh diri di dalam kenderaannya di Tanah Perkuburan Kampung Divatto, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an ditemui abang kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, menerusi panggilan telefon itu, abang mangsa menyatakan adiknya berada dalam tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.

Katanya, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, mangsa berada di tempat duduk pemandu Proton Wira dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan lanjut kemudiannya mendapati terdapat satu saluran hos yang disambungkan dari ekzos kenderaan ke dalam kereta melalui cermin pintu belakang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Haris berkata, kejadian dipercayai dilakukan sendiri oleh mangsa berdasarkan tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan di lokasi.

“Pihak polis percaya mangsa membunuh diri akibat masalah dengan kekasih berdasarkan nota yang mangsa tinggalkan di dalam kereta.

“Walau bagaimanapun, siasatan akan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” tegasnya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *